Powered By Blogger

19 December 2012

Calon-calon Penghuni Syurga

Sangat banyak ayat Al-Quran yang menjelaskan bahawa calon-calon ahli syurga itu adalah orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang benar-benar taat dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Di samping  itu, ia benar-benar beriman dan beramal soleh serta bersegera dalam memohon ampun dan keredhaan Allah, atau orang yang mempunyai pendirian yang teguh terhadap keimanan dan keislaman, mereka itu antara lain ialah para Rasul, para Nabi, para ulama, para syuhada', para solihin dan para shiddiqin.

   Adapun yang dimaksud dengan orang-orang yang benar-benar beriman itu sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya bermaksud:"Iaitu orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan sebelummu serta mereka yakin akan adanya kehidupan akhirat." (Al-Baqarah: 3-4)

   Dalam ayat yang lain pula Allah SWT berfirman yang maksudnya:"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka kerananya dan kepada Tuhan mereka bertawakal, iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya." (Al-Anfal: 2-4)

   Dari penjelasan maksud ayat Al-Quran di atas maka dapatlah disimpulkan di sini, bahawa ciri-ciri atau sifat-sifat sempurna dari orang-orang yang benar-benar beriman yang bakal menjadi calon syurga itu ialah:

  1. Orang-orang yang beriman kepada yang ghaib.
  2. Orang yang sentiasa mendirikan solat dan mengajak orang lain supaya melaksanakannya.
  3. Orang yang menafkahkan hartanya di jalan allah, baik menunaikan zakat, bersedekah dan berwakaf.
  4. Meyakini akan kebenaran kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW serta melaksanakannya dalam kehidupan sehari-hari.
  5. Percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan Allah kepada para RasulNya sebelum Al-Quran seperti kitab Taurat, Zabur, Injil dan mushaf-mushaf lainnya.
  6. Yakin akan adanya kehidupan akhirat iaitu tempat pembalasan segala amal perbuatan manusia selama ia hidup di dunia ini.
  7. Apabila ia mendengar orang menyebut nama Allah, maka hatinya merasa gementar.
  8. Apabila mendengar orang membaca ayat-ayat Al-Quran, maka semakin bertambah keimanannya.
  9. Sentiasa menyerah diri kepada Allah di samping berusaha.
  10. Sentiasa bersabar terhadap berbagai macam dugaan yang datang melanda dalam kehidupan.
   Orang-orang yang disebutkan di atas inilah, yang akan memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah. Mereka akan memperoleh keampunan, kebahagiaan, keselamatan dan kesejahteraan baik di dunia mahupun di akhirat.

   Di akhirat kelak mereka akan memperolehi balasan syurga. Syurga yang akan mereka perolehi itu tidaklah sama tingkatannya, sesuai dengan tingkat amalan yang dikerjakan. Kerana orang yang lebih tinggi tingkat ketakwaannya tidaklah sama dengan orang yang mengamalkan ajaran agama cuma secara sederhana. Di sinilah pula letaknya keadilan Allah, balasan pahala yang diberikan sesuai dengan amalan yang dikerjakan.

No comments:

Post a Comment