Powered By Blogger

19 December 2012

Menyambut Kedatangan Ahli Syurga

A. MALAIKAT

   Di antara yang akan menyambut kedatangan para ahli syurga itu ialah para malaikat. Mereka ini bertugas sebagai penjaga pintu syurga. Firman Allah SWT yang maksudnya:"Malaikat-malaikat itu masuk ke dalam tiap-tiap pintu sambil mengucapkan assalamualaikum kepada mereka.alangkah menyenangkan tempat kesudahan itu". (Ar-rad: 23-24) 

   Ada di antara mereka yang tegak berdiri, dan ada pula yang keluar masuk dari pintu syurga itu. Dari mulut malaikat-malaikat itu tidak henti-hentinya keluar ucapan:"Selamat datang wahai jiwa yang tenang, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan bersuka ria, masuklah kamu ke dalam hambaKu, dan masuklah kamu ke dalam syurgaKu". Semua malaikat itu menyambut kedatangan para ahli syurga dengan ramah-tamah.

B.HURUL-AINI.

   Hurul-aini dalam bahasa harian disebut dengan bidadari. Iaitu perempuan syurga yang sengaja dijadikan Allah untuk menjadi isteri orang-orang yang beriman setelah sampai di syurga nanti.

   Manakala malaikat sibuk menjalankan tugasnya menyambut kedatangan orang-orang yang memasuki syurga maka Hurul-aini tegak berbaris sepanjang jalan. Ketika pintu syurga itu dibuka semuanya dan orang-orang menyerbu masuk, ketika itulah Hurul-aini melambai-lambaikan tangan , mereka bernyanyi sebagai tanda gembira.

"Kamilah perempuan abadi, tidak pernah binasa
Kamilah perempuan yang senang, tidak pernah susah.
Kamilah perempuan redha, tidak pernah marah.
Merasa senang orang yang memiliki kami
Kami ini dia yang punya."

(HR.Tirmizi)

   Mereka menyanyi beramai-ramai. Alunan suara mereka tinggi-rendah menusuk perasaan hati, terhenti air yang mengalir, terhenti burung yang terbang, ketika mendengar suara yang merdu itu.

   Nyanyian itu dibalas oleh perempuan-perempuan mukminah Ahlud-dunya. Iaitu mukminah yang sekarang ini. Sesampainya mereka di syurga nanti wajah mereka lebih cantik dari para bidadari. Nyanyian balasan itu berbunyi:

Kamilah perempuan yang mengerjakan solat, sedangkan kamu tidak.
Kamilah perempuan yang berpuasa, sedangkan kamu tidak.
Kamilah perempuan yang berwudhuk, sedangkan kamu tidak.
Kamilah perempuan yang bersedekah, sedangkan kamu tidak.

(HR.Tirmizi)

   Kedua pihak perempuan tersebutbernyanyi berbalas-balasan. Sama-sama mengangkat suara dengan merdunya. Perempuan mukminah yang ada di dunia ini sesampainya di syurga nanti akan lebih cantik dari bidadari, mereka masih tetap menjadi isteri dari suaminya yang sekarang di samping Hurul-aini.

   Dalam sebuah hadith dari Aisyah menerangkan, bahawa Rasulullah SAW mengatakan sekarang Hurul-aini itu selalu merindukan kedatangan orang-orang yang membaca Al-Quran, orang-orang yang berbuat baik kepada kedua orang tuanya, dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan.

C. KANAK-KANAK YANG MENINGGAL SEMASA KECIL.

   Di samping para malaikat dan Hurul-aini, maka kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga.

   Sabda rasulullah SAW yang bermaksud:"Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya:"Wahai Jibril, siapakah mereka itu?" Jibril menjawab: Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu diasuh oleh Nabi Ibrahim as. sampai orang tuanya datang." (HR. Abu Daud)

   Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzah dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya.

   Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Tiap-tiap anak orang Islam yang mati sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat Allah." (HR. Bukhari dan Muslim)

   Setelah dipindahkan ke dalam syurga, maka anak-anak kecil ini lupa kepada kehidupan dunia. Mereka lupa kepada kedua ibu bapanya, lupa kepada kampung halamannya dan sebagainya. Tiba-tiba pada suatu hari, ketika mereka sedang bermain-main menimati kesenangan syurga, maka ada malaikat yang memberitahunya:"Wahai Wildan, lupakah kamu kepada kedua orang tuamu? Sekarang mereka sudah berada di pintu syurga. "Ketika itulah baru mereka tahu dan ingat kembali kepada ayah bonda mereka yang selama ini mereka lupakan.

   Mendengar apa yang dikatakan oleh malaikat itu, dalam keadaan menangis dan membawa air dengan segera mereka berlari menuju ke pintu syurga. Sesampainya di sana, mereka melihat Hurul-aini sedang tegak berbaris sepanjang jalan dengan memakai pakaian dan perhiasan yang serba indah.

   Setelah pintu syurga terbuka, dengan diiringi nyanyian merdu Hurul-aini, maka orang-orang pun berebut masuk ke dalamnya, dan ketika itulah anak-anak kecil ini sibuk mencari kedua ibu bapanya. Mereka mencari ke sana ke mari, tetapi tidak berjumpa. Sambil menangis dan memegang air di tangan maka pergilah mereka kepada malaikat serta bertanya:"Wahai malaikat, mana ayah dan ibu kami?.Menjawab malaikat:"Wahai Wildan, sungguh malang nasib kamu, kedua orang tua kamu terjatuh ke dalam neraka."

   Mendengar ungkapan yang demikian itu, maka anak kecil tadi menangis sejadi-jadinya, menangis menghiba dengan ratapan yang menyayat hati:" Wahai ibuku, wahai ayahku, apakah kesalahanmu, apakah dosamu sehingga kamu terjatuh ke dalam neraka? Begitulah ratapan mereka.

   Berkata malaikat:"Wahai Wildan jangan menangis, pergilah kamu memohon bantuan kepada Nabi Muhammad SAW."

   Setelah anak-anak kecil ini mengadu kepada Nabi Muhammad SAW, maka Nabi Muhammad SAW pun mengangkat kedua tangannya berdoa, lalu dikeluarkanlah orang-orang mukmin yang berada dalam neraka itu. Inilah syafaat nabi Muhammad SAW yang ketiga di akhirat. Pertama pada waktu ditimbang antara dosa dan pahala, yang kedua pada waktu meniti Shiratal Mustaqim yang ketiga ketika mengeluarkan orang dari dalam neraka. Maka ketika itu bertemulah antara anak-anak kecil tadi dengan kedua orang tuanya dengan perasaan gembira.

   Firman Allah SWT yang maksudnya:"Pada hari itu mereka berjumpa dengan perasaan gembira." (Ad-Dahr: 11)

   

No comments:

Post a Comment